"...Izinkan aku mengintipmu dikejauhan,
Wajah salju wanita yang ku rindu,
Izinkan aku memuja dirimu,
Walau cuma hati ini sahaja yang tahu,
Betapa di dasar naluri amat menyintai dirimu,
Sungguh kehadiran kamu di sisi ini dulu,
Terlalu berbeza indahnya jika terpaksa,
Bagiku bandingkan dengan seribu jelita dunia,
Sungguh padanya diriku,
Suci kamu dalam titip-titip pertemuan kini,
Telahpun melebihi,
Sejuta malaikat di kaki langit membiru..."

"...Gementar untuk aku mendekati,
Apatah lagi mahu memeluk tubuh,
Lalu membisikkan sejujur kata rindu,
Ada ketika terasa jemari ini,
Ingin sekali membelai lembut dipipimu,
Tapi takut pula dalam kelembutan itu,
Akan mengguris gebu kapas senyumanmu,
Ingin ku mengucup rindu pada dahimu,
Tetapi takut-takut dalam kerinduan bisa melukai,
Jernihnya lukisan ketenangan,
Di raut wajahmu nanti..."

"...Aku rela dalam menunggu,
Walau untuk sejuta tahun akan terus saja berlalu,
Aku tegar dalam menemani,
Bunga nan sepi bagi berkurun lamanya lagi,
Kerana terasa warna-warna selesa,
Meski lelah diri menyayangi dirimu tadi,
Dan kalaupun sebenarnya aku tahu,
Bukan jasad ini yang bersemi,
Di dalam hatimu pasti..."

"...Kerana bagiku kamu ternyata hanya,
Seorang insan nan biasa,
Tetapi yang telah hadir,
Dari permai si kayangan syurga,
Biarlah aku terus begini kekasih,
Dalam redup bintang malam,
Dirimu akan terus untuk aku rindu,

Dan cukuplah yang terakhir kali ini,
Ingin kutatap senyuman di manis keindahanmu,
Maka bagiku akan tiada lagi erti cinta,
Yang dapat sekali lagi,
Untuk aku cari ganti..."


Rauf Safie